Yang lebih mahal, dari dunia dan seisinya

 Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka…

surah al-anfal; ayat 63

Bismillah wa Allahu akbar



Hadith tentang persaudaraan itu sangat menyentuh. Kerana di dalamnya diingatkan 'wa kuunu ibadallah! ikhwana...' jadilah kalian hamba Allah yang bersaudara.

Ya, persaudaraan itu bukan sekadar hubungan rapat sesama manusia, ia adalah ikatan atau ribath yang terjalin kerana kita sama-sama adalah hamba kepada Allah. Maksudnya, boleh jadi kita tak sama personaliti, boleh jadi kita tak sama warna kulit, kita tak sama sekolah, tapi kita adalah ikhwan!

Iman adalah barometernya. Taqwa adalah termometernya. Keduanya berasal dari hati kita. Lihatlah bagaimana persaudaraan ini Allah jalinkan hingga soal hati dan iman menjadi timbangan. Hati adalah sumber rasa takut kita kepada Allah, lahirlah taqwa yang akan mengawal diri daripada ikut nafsu dan keinginan peribadi, menjaga hak dan akhlaq dalam persaudaraan supaya tetap dipelihara dalam ribath illahi.


Sebelum tarbiyah menyapa, persaudaraan bagiku adalah sahabat tempat berkongsi suka dan duka, sama makan dan berjalan ke tempat-tempat impian. Tapi mungkin personaliti yang tidak banyak berkongsi menjadikan persahabatan itu seperti hubungan kawan tanpa gula dan garam, makanannya ada tapi rasanya tiada. Tarbiyah mengajarkan bahawa tiada yang membezakan kita selain ketaqwaan, maka segala jurang seakan-akan tiada sebab matlamat kita bersaudara adalah Allah.


Namun begitu, rasanya hati ni macam durian... dah habis satu bahagian, masih ada bahagian yang belum dibuka dan isinya masih ada. Sepertinya ada perkara yang mudah di hati dan di lidah untuk dibicarakan dan dikongsi, dan ada yang disimpan untuk muhasabah dan introspeksi sendiri. Setiap bahagian isi durian ini, memerlukan jalan kepada ketaqwaan untuk dibersihkan, supaya menjadi bersih dan ikhlas. Dari situ barulah tujuan utama persaudaraan dapat dicapai dan barulah persaudaraan itu membina iman yang teguh.


Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:

Janganlah kamu saling dengki mendengki, tipu menipu, benci membenci, belakang membelakangi antara satu sama lain. Janganlah sebahagian kamu menjual barangan atas jualan orang lain. Hendaklah kamu menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi seorang muslim; dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam kehinaan), membohonginya dan menghinanya. Ketaqwaan itu di sini – sambil Baginda menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali –Cukuplah seseorang itu mendapat keburukan apabila dia menghina saudaranya yang muslim. Setiap orang muslim ke atas muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya."

HR Muslim

Ketahuilah kerana itu persaudaraan itu lebih mahal daripada dunia dan seisinya...

Ulasan