Selasa, 1 Oktober 2013

Luahan Rasa Buat Sahabat


بسم الله الرحمن الرحيم

             Kawan-kawan, terima kasih kerana sudi menerima singgah aku dalam hati kalian. Sungguh, perkenalan yang singkat ini banyak mengajar aku erti kehidupan, dan semuanya atas jasa dan budi kalian. Aku bersyukur kerana Allah memberikan aku kesempatan untuk belajar daripada kalian. Perkenalan aku dengan kalian membawa kepada satu saat manis dalam hidupku iaitu rasa kemanisan persahabatan.
             
              Namun berbanyak-banyak kemaafan aku dahulukan sekiranya sepanjang perkenalan ini aku tidak dapat memenuhi apa-apa janji dan keinginan yang kalian hajatkan daripadaku. Kemaafan juga kupinta daripada kalian atas segala kekhilafan nafsi sehingga menyebabkan hati kalian terguris dan terluka. Sekali lagi aku minta maaf andai persahabatan yang terjalin ini tidak berhasil kubawa untuk menggapai reda-Nya. Sungguh, tiada apa yang diharapkan selain persahabatan ini ku niatkan bagi mendapatkan reda Allah.

             Sahabat-sahabat yang amat kukasihi kerana-Nya, ukhwah itu memang indah… kerana yang terjalin itu merupakan ikatan antara hati-hati kita kerana Allah. Namun, Allah tidak menjanjikan kesenangan sepanjang ikatan ini hingga ke akhirnya. Pasti ujian akan diberi, pasti kesedihan akan singgah dalam setiap hati. Kerana Allah telah berfirman, Surah Al-Ankabut; 2
“ Apakah manusia itu Kami akan membiarkan mereka berkata; ‘Kami telah beriman’, sedangkan mereka belum diuji?”

              Jadi ujian itu adalah bukti keimanan kita kepada-Nya. Jangan kita mudah berputus asa kerana walaupun tidak selalu senang tapi Allah menjanjikan bahawa Dia sentiasa berada di sisi hamba-hamba-Nya yang tidak lupa kepada-Nya. Sesungguhnya, kalau kita nak tahu di mana kita di sisi-Nya, lihatlah di mana kita tempatkan Dia di hati kita =)

          Rakan-rakanku, kemanisan dan keindahan dalam ukhwah bergantung pada niat kita menjalinkannya. Maka atas dasar apakah kita bersahabat? Jika atas dasar kebijaksanaan, sudah tentu selepas ini sudah berakhir… Jika atas dasar kecantikan, sudah tentu masa tua sudah berakhir… Jika atas dasar kemewahan, sudah tentu waktu miskin sudah berakhir persahabatan itu. Apa yang ingin aku sampaikan di sini ialah, “Aku ingin bersahabat dengan kalian hingga ke syurga!”

            Persahabatan ini aku ingin dasari dengan reda Allah, kerana inilah satu-satunya perkara yang tidak akan terhenti dan berhenti dan terus dikejar hingga ke akhirat nanti. Dengan ini jugalah persahabatan yang dijalinkan ini akan menjadi satu ibadah. Mudah bukan, untuk beribadah =)

            Sahabat-sahabatku, walau apa pun persahabatan kita tak akan putus. Meski jika kau terjun ke neraka, akan ku terjun sama untuk menarikmu semula, supaya kita dapat berjalan beringingan bersama hingga sampai ke syurga. Untuk itu, kita mesti saling melengkapi supaya kita dapat menjadi hamba Allah yang terbaik.


Sahabat,
Kubina hubungan kita atas keimanan
Kerana aku ingin bersama denganmu menggapai reda Tuhan
Sungguh aku cintakan kamu kerana Dia
Supaya kita dapat beriringan berjalan menuju ke syurga

Sahabat,
Tiada kujanji akan indah perjalanan ini
Namun atas keimanan yang tersemat di qolbi
Selemah-lemahnya aku akan terus berlapang hati

Sahabat,
Walau perjalanan ini menuntut pengorbanan
Akan sedaya cuba aku kotakan
Kerana aku ingin mengikut sunnah Yang Mulia Nabi
Untuk mengasihimu melebihi diriku sendiri

Sahabat,
Tidak kunafikan hati ini amat merindui kamu
Suka duka, tangis tawa singgah ke memori satu demi satu
Meski jarak memisahkan tiada noktah kasihku padamu
Doa kusemat moga kita kembali bertemu
Dengan izin-Nya kita tetap bersatu…

Semoga Allah redha =)